Pengarah Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), Juninho mengesahkan Brazil tidak akan melepaskan pemain Real Madrid sebelum tamat rehat antarabangsa.

Pasukan Amerika Selatan berada dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada minggu akan datang, dengan FIFA telah memberikan tempoh aksi antarabangsa tambahan ke dalam kalendar musim ini untuk menebus masa yang hilang akibat pandemik COVID-19.

Brazil telah pun layak ke Piala Dunia tahun ini di Qatar dan menduduki tangga teratas CONMEBOL dengan 35 mata.

Mereka berdepan Ecuador awal pagi Jumaat dan Paraguay pada 1 Februari.

Sementara itu, Madrid akan menghadapi suku akhir Copa del Rey menentang Athletic Bilbao pada 3 Februari.

Empat pemain Madrid -- Casemiro, Eder Militao, Rodrygo dan Vinicius Junior -- telah dipanggil untuk menyertai skuad Brazil.

Bagaimanapun, Juninho menegaskan bahawa walaupun pemain tidak beraksi dalam setiap perlawanan Brazil, mereka akan kekal bersama pasukan kebangsaan sehingga 2 Februari, bermakna terdapat sedikit peluang Los Blancos mampu membariskan kuartet tersebut di San Mames.

“Kami tidak akan melepaskan pemain lebih awal,” kata Juninho kepada rancangan radio Sepanyol El Larguero.

"Pemain perlu bersama kami sehingga akhir tempoh ditetapkan FIFA, pada 2 Februari. Bergantung pada cara mereka bermain perlawanan pertama [kami akan] membincangkan sama ada mereka bermain perlawanan kedua atau tidak.

"Mereka akan bersama kita hingga ke akhirnya. Kami tidak sanggup melepaskan mereka. Kita tidak boleh meletakkan sebarang jangkaan. Kami telah mendapat permintaan daripada kelab lain.

"Kami mempunyai beberapa hari bersama pemain. Kami mesti memanfaatkan tahun ini kerana persiapan untuk Piala Dunia telah bermula."