JERMAN 6 ARMENIA 0

Hansi Flick gembira melihat Jerman mempamerkan kualiti tinggi ketika membenam Armenia 6-0 sambil Serge Gnabry berasakan mereka seharusnya menang lebih besar.


Jerman melangkah ke puncak Kumpulan J, kelayakan Piala Dunia ketika Flick mengemudi pasukannya beraksi di depan penyokong sendiri buat julung kalinya, sebentar tadi.

Gnabry menjaringkan dua gol pada awal 15 minit permainan sebelum jaringan Marco Reus dan Timo Werner menyusul dalam separuh masa pertama bagi melenyapkan kesangsian terhadap keupayaan Die Mannschaft mencipta kemenangan.

Jonas Hofmann dan muka baru, Karim Adeyemi, kemudian melengkapkan kejayaan itu, namun Flick menuntut anak buahnya agar segera mengalihkan tumpuan menjelang dengan Iceland, Khamis depan.

"Saya menggemari corak permainan ini tetapi kami masih mempunyai perlawanan di Iceland, jadi pasukan boleh berasa seronok dengan persembahan mereka kali ini tetapi kami harus tetap fokus," kata Flick kepada RTL.





"Kita telah melihat bahawa pasukan ini mempamerkan kualiti luar biasa, tetapi apa yang penting adalah menjaminnya dalam detik penting."

Flick telah memenangi dua perlawanan pertamanya di peringkat antarabangsa dengan mencatat perbezaan kelebihan lapan gol -- permulaan terbaik antara semua jurulatih Jerman dalam dua aksi pembukaan.

Dalam kelayakan zon Eropah untuk Piala Dunia 2022, hanya Belgium (10) telah mengumpul lebih banyak gol dalam separuh masa pertama berbanding Jerman (lapan).

Kepantasan Gnabry sering mengucar-ngacirkan barisan Armenia hingga sukar untuk bertindak balas.

"Berbanding dengan perlawanan di Liechtenstein, kali ini kami lebih cekap tetapi kami masih terlepas beberapa peluang menarik, kami patut menjaringkan lebih banyak gol lagi," kata Gnabry.

"Ketika bertemu Liechtenstein, kami sepatutnya meraih tiga mata tetapi hari ini kami mendapat tonik tambahan untuk berkunjung ke Iceland.

"Jelas sekali gol pendahuluan pada awal permainan memihak kami. Dua gol saya itu memberikan saya satu kelegaan kerana dapat membantu pasukan."