BELARUS 2 WALES 3

Gareth Bale mengakhiri ketandusan gol bersama Wales dengan hatrik untuk mencerahkan harapan mereka dalam kelayakan Piala Dunia.


Selepas tumpul dalam 17 perlawanan, penggempur Real Madrid tersebut menunjukkan kelas tersendiri apabila bangkit dua kali untuk membenam Belarus, tengah malam tadi.

Dua jaringannya di Kazan, Russia, itu terhasil menerusi sepakan penalti sebelum sentuhan pemusnahnya sekali lagi menghukum Sergey Chernik untuk menghadiahkan kemenangan 3-2 Wales dalam masa kecederaan.

Perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali selepas Belarus mengenakan sekatan perjalanan kepada pelawat berikutan isu COVID-19.

Begitupun, Wales berdepan laluan berliku dalam 30 minit awal permainan apabila pintu gol mereka digegarkan dua kali dalam tempoh 92 saat menerusi jaringan penyamaan Vitali Lisakovich dan Pavel Sedko untuk meletakkan Belarus depan.

Malah, ia merupakan dua percubaan tepat sulung yang dihasilkan Belarus.

Tetapi Bale menyamakan kedudukan pada minit ke-69 sebelum muncul wira pasukannya selepas tiga minit memasuki masa kecederaan.

Bintang berusia 32 tahun itu melakukan tujuh percubaan dan tiga daripada mengenai sasaran untuk muncul penjaring terbanyak buat pasukan kebangsaannya.




Dia menggambarkan kemenangan itu sebagai sangat penting dan berkata: "Kami sedar perlawanan seperti ini mungkin yang paling sukar kerana kami dijangka menang tetapi pihak lawan membuatkannya sukar.

"Untuk meledak gol pada minit terakhir perlawanan dan mencapai sasaran tiga mata mampu membantu kami meneruskan momentum, semoga kami dapat mengekalkannya untuk perlawanan seterusnya."

Wales mensia-siakan tiga sepakan penalti terakhir termasuk kegagalan Bale sewaktu menentang Turki dalam Euro 2020, lantas dia mengakui kegagalan lalu masih menghantuinya ketika menggalas tanggungjawab itu dalam sepakan pertama.

"Sudah tentu ia sentiasa berlegar di dalam saya," kata Bale kepada Sky Sports.

"Kegagalan sepakan penalti adalah perkara penting dalam bola sepak, ia boleh berlaku dan ia mengenai cara anda untuk bangkit. Sangat seronok dapat menghasilkan dua jaringan malam ini kerana ia adalah gol penting.

"Kemenangan ini dimutlakkan di penghujung perlawanan. Bola banyak berlegar di dalam kotak penalti dan melantun, jadi saya cuba menendangnya masuk dan sebaik sahaja melihatnya gagal dikuis penjaga gol, saya berasa amat gembira. Saya tahu ia satu tindakan yang tepat pada beberapa saat terakhir."

Bale pernah menghadapi situasi sama malah dalam 20 perlawanan (dari 2007 hingga 2010) pada awal kariernya bersama pasukan kebangsaan.

Wales baru mengharungi tiga perlawanan peringkat kelayakan untuk menghuni tangga ketiga selepas ketinggalan tujuh mata dengan pendahulu Kumpulan E, Belgium, sementara satu mata menghambat Republik Czech.