PERANCIS 1 BOSNIA-HERZEGOVINA 1

Perancis masih gagal menunjukkan kebangkitan selepas tersingkir secara mengejut daripada Euro 2020 bulan lalu dengan yang terbaru diikat 1-1 oleh Bosnia-Herzegovina dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di Strasbourg awal pagi tadi.

Les Bleus, yang disingkirkan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti pusingan 16 Kejohanan Eropah itu, ketinggalan gara-gara jaringan Edin Dzeko pada minit ke-36 tetapi segera menyamakan kedudukan hasil sentuhan Antoine Griezmann berselang tiga minit.

Pasukan bimbingan Didier Deschamps itu sepatutnya memburu kemenangan dalam perlawanan itu memandangkan ia dapat memberikan mereka kelebihan enam mata di depan pasukan di tangga kedua, Ukraine -- yang terikat 2-2 dengan Kazakhstan dalam satu lagi perlawanan -- memasuki separuh kedua saingan Kumpulan D.

Bagaimanapun, harapan itu berakhir lebih awal apabila pemain yang baru sahaja melengkapkan perpindahannya daripada Sevilla kepada Chelsea, Jules Kounde, dilayangkan kad merah kerana terjahan lewatnya ke atas Sead Kolasinac pada minit ke-51.

Seterusnya, Perancis akan berdepan Ukraine di Kiev manakala Bosnia-Herzegovina pula melayani kunjungan Kuwait hujung minggu ini.