Gandingan tengah Jerman antara Leon Goretzka dan Joshua Kimmich adalah 'salah satu terbaik dunia', menurut Hansi Flick.

Dua bintang Bayern Munich itu telah turun beraksi dalam tiga perlawanan terakhir bersama skuad Jerman dan dilihat bakal mengetuai jentera tengah menjelang aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan J bertemu Macedonia Utara esok.

Goretzka dan Kimmich turut digandingkan bersama dalam tujuh perlawanan Bundesliga bersama Bayern musim ini, membantu skuad kendalian Julian Nagelsmann berada di puncak liga.

Menjelang kunjungan Jerman ke Macedonia Utara, di mana kemenangan menyaksikan Die Mannschaft mampu memastikan slot ke Qatar dengan berbaki dua perlawanan, Flick memuji Kimmich dan Goretzka, yang turut membentuk sentuhan dominan dalam skuad Bayern.

"Semua orang mengetahui mereka bermain baik di atas padang," katanya. "Mereka saling melengkapi dan dua pemain yang cukup profesional.

"Kami memerlukan mereka untuk membaca perlawanan. Mereka beraksi dengan penuh sempurna dan gembira memiliki dua pemain ini.

"Mereka merupakan salah satu gandingan terbaik dunia."

Manuel Neuer mungkin kembali beraksi bersama Jerman selepas tidak diturunkan bertemu Romania ekoran kecederaan.Flick turut mendedahkan pertahanan, Antonio Rudiger, mungkin diketepikan selepas tidak turun berlatih semalam.