England tidak akan hanya fokus kepada kelibat Robert Lewandowski menjelang pertembungan kelayakan Piala Dunia dengan Poland, Khamis ini, demikian amaran yang dilontarkan pengurus The Three Lions, Gareth Southgate.

Lewandowski menyumbat tiga gol kemenangan Poland ke atas Albania dan San Marino minggu lalu untuk mengumpul 72 gol buat negaranya dalam 124 penampilan.

Dia turut mencatat rekod baru untuk gol terbanyak yang pernah dijaringkan dalam kempen semusim Bundesliga (41) dan penyerang produktif itu juga dalam prestasi terbaik dalam musim ini.

Dia telah menemui sentuhan penyudah dalam enam perlawanan di peringkat kelab dan negara selain menyumbat 10 gol untuk mengukuhkan statusnya sebagai antara penyerang terbaik.

Penyerang Bayern Munich itu tercedera ketika Poland tewas 1-2 di Wembley pada Mac lalu tetapi kali ini cergas untuk pertemuan di antara kedua-dua pasukan teratas Kumpulan I berkenaan.






Tetapi tatkala mengiktiraf kualiti Lewandowski di depan gawang, Southgate menegaskan Poland tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja, seperti yang dibuktikan oleh pasukan bimbingan Paulo Sousa itu dalam perlawanan timbal balik enam bulan lalu.

"Mereka beraksi di Wembley tanpanya dan mereka memberikan persembahan yang sangat baik," katanya.

"Kami menjaringkan gol lewat permainan untuk memenanginya, begitu juga tiada bezanya jika kami kehilangan sentuhan Harry Kane atau Raheem Sterling walaupun mereka akan menjadi kerugian besar buat kami.

"Kehilangan pemain handalan untuk mana-mana pasukan di dunia ini tentunya satu kerugian dan setiap pasti jurulatih akan berasakan hal yang sama.

"Tetapi ketika kami mempersiapkan pasukan untuk menentang Poland, kami tidak memberi perhatian kepada Lewandowski semata-mata.

"Kami amat menghormati apa yang mampu dilakukannya dan kami sedar ancamannya, tetapi mereka juga mempunyai beberapa pemain lain yang sangat berbahaya."