England menyenaraikan Ben Chilwell untuk menggantikan Reece James, yang masih bergelut dengan kecederaan, manakala Tammy Abraham pula dipanggil pada saat-saat akhir bagi tugasan antarabangsa sepanjang bulan ini.

Gareth Southgate menamakan 23 pemainnya malam tadi bagi pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Andorra dan Hungary dengan terdapat dua perubahan berbanding skuad sebelum ini.

James, yang mengalami kecederaan buku lali ketika Chelsea tewas 0-1 kepada Manchester City bulan lalu, diketepikan kerana masih belum pulih dan akan digantikan oleh rakan sekelabnya, Chilwell.

Pertahanan kiri itu sedang bersemangat untuk membuktikan dia layak untuk membarisi skuad kendalian Southgate dan Thomas Tuchel -- di peringat kelab -- selepas sekian lama diketepikan dan berhasil melakukannya dengan menjaringkan gol yang membantu kemenangan 3-1 Chelsea ke atas Southampton pada hujung minggu lalu.

Dalam perlawanan itu, Chilwell melakukan empat percubaan dan tiga hantaran penting dan hasilnya, dia terpilih untuk menggantikan rakan sekelabnya, James, bagi aksi antarabangsa kali ini.

Bekas penyerang Chelsea, Abraham, turut disenaraikan pada saat-saat akhir, di mana Southgate bersetuju melebarkan kekuatan skuadnya kepada 24 pemain berdasarkan prestasi terkini penyerang AS Roma berkenaan.

Abaraham, yang tidak pernah mendapat panggilan itu sejak November 2020, telah mengumpulkan enam penampilan bersama skuad kebangsaan England.

Dia menghasilkan dua gol dan dua bantuan jaringan dalam tujuh penampilan Serie A pertamanya di bawah kendalian Jose Mourinho dan kini kelihatan akan bertindak selaku gandingan Harry Kane, yang telah menjaringkan sembilan gol daripada 13 perlawanan antarabangsa buat England sepanjang tahun ini.