Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, mengumumkan pengguguran tiga pemain selepas pasukannya membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Pemain terbabit ialah perancang tengah, Nor Azam Azih, Shahrel Fikri Md. Fauzi (penyerang) dan J. Partiban (pemain sayap).

Ketiga-tiga pemain itu tidak akan menyertai kunjungan skuad negara ke Hanoi untuk bertemu Vietnam dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, Khamis ini.

Cheng Hoe mengakui ketiadaan ketiga-tiga pemain itu amat dirasai, namun percaya terhadap keupayaan pemain sedia ada untuk menggalas misi penting skuad negara itu.

"Ketiga-tiga pemain itu sudah bersama kami sejak bulan lalu dan sudah pasti pemain-pemain lain boleh menggalas tugas tersebut (yang ditinggalkan mereka).

"Apa yang penting, saya mahu pemain-pemain baru menyesuaikan diri dengan pasukan," katanya.

Dalam aksi di Stadium Nasional itu, penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, turut tidak dapat diturunkan kerana menjalani penggantungan perlawanan antarabangsa.

Namun, ia tidak menggugat Harimau Malaya dengan Syafiq Ahmad muncul pemain paling cemerlang dengan hatriknya manakala Norshahrul Idlan Talaha, Shahrul Saad dan Akhyar Rashid turut menyumbangkan jaringan.

"​Kami tewas 0-6, ia jurang yang besar," kata ketua juruatih Sri Lanka, Nizam Packeer Ali.

"Sebenarnya, Malaysia beraksi dengan amat baik.

"Tekanan yang kami hadapi ketika berdepan Malaysia amat baik menjelang pertemuan dengan Korea Selatan.

"Seperti yang kita semua jangkakan, kami tidak dapat melakukan kejutan.

"Kami berpeluang untuk menjaringkan gol dalam babak pertama, jadi ia akan menjadi pengalaman buat kami.

"Apa yang saya nampak, kekuatan utama pasukan kami ialah penjaga gol," katanya.