CHILE 0 BRAZIL 1

Brazil meneruskan rekod sempurna dalam pusingan kelayakan Piala Dunia selepas menewaskan Chile 1-0 di Santiago hari ini.

Pemain gantian, Everton Ribeiro, muncul penjaring gol kemenangan pada minit ke-64 untuk Brazil merekodkan tujuh kemenangan bersih daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Skuad Selecao itu -- yang turun beraksi buat kali pertama sejak tewas kepada Argentina dalam final Copa America, Julai lalu -- kini berkelebihan enam mata di depan La Albiceleste untuk menduduki tangga teratas menjelang pertemuan kedua-dua pasukan seteru itu di Sao Paolo awal pagi Isnin ini.

Chile, dalam pada itu, berada di kedudukan ketujuh daripada 10 pasukan pusingan kelayakan Amerika Selatan dan ketinggalan tiga mata daripada kedudukan playoff.

Keengganan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) melepaskan pemain mereka ke negara zon merah COVID-19 menyaksikan Brazil turun tanpa khidmat ketua pasukan, Thiago Silva, selain Alisson, Ederson, Fred, Fabinho, Roberto Firmino, Richarlison and Gabriel Jesus.

Mereka juga terpaksa menurunkan penjaga gol Palmieras, Weverton, berikutan ketiadaan Alisson dan Ederson.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Brazil untuk meneruskan rentak kemenangan dan rekod baik ketua jurulatih, Tite, yang tidak pernah tewas sebarang perlawanan selepas memperoleh gol pembukaan.