VENEZUELA 1 BRAZIL 3

Gabriel Barbosa menjaringkan sepakan penalti untuk meletakkan Brazil dalam pendahuluan pada minit ke-85 ketika bangkit mengekalkan rekod sempurna kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan (CONMEBOL) dengan kemenangan 3-1 di Venezuela.


Selecao belum pernah tewas dalam 17 perlawanan kelayakan Piala Dunia ketika berdepan tuan rumah itu tetapi pasukan gergasi Amerika Selatan berkenaan mula berasa bahangnya selepas ketinggalan dalam separuh masa pertama, pagi tadi.

Gol antarabangsa pertama Eric Ramirez pada minit ke-11, membolehkan Venezuela mula memasang impian sebelum Marquinhos menyamakan kedudukan pada minit ke-71 dalam pertembungan di Caracas itu.

Gabigol kemudian melunaskan sepakan penalti ketika permainan berbaki lima minit selepas dia dijatuhkan untuk membimbing pendahulu kelayakan CONMEBOL itu ke landasan kemenangan menuju kempen di Qatar tahun depan sebelum Antony menambah gol ketiga pada minit ke-96.



Brazil pada awalnya membuat permulaan yang cerah ketika satu usaha Gabigol pada minit ketujuh terkena tiang lawan.

Tetapi empat minit kemudian, Venezuela mengejutkan mereka dengan jaringan Ramirez.

Yeferson Soteldo meluru dari bahagian sayap lalu mencipta umpanan silang yang sempurna untuk tandukan Ramirez melewati kawalan Alisson.

Gol itu hampir mengakhiri rentetan enam kemenangan Brazil dalam kempen kali ini -- pencapaian terbaik dalam kalangan semua pasukan di peringkat CONMEBOL.

Skuad samba itu terus mengawal tempo permainan tetapi masih buntu biarpun rembatan Everton Ribeiro turut menggegar palang pada minit ke-22.

Venezuela mempertahankan kedudukan itu dalam separuh masa pertama sebelum dikecewakan Brazil sebaik babak kedua bersambung 11 minit apabila sentuhan akhir Marquinhos mengimbangi kedudukan 1-1.

Mujur buat Venezuela, gol tandukan Thiago Silva untuk Brazil selepas itu tidak diiktiraf kerana ofsaid.

Perlawanan menjadi lebih terbuka dengan Venezuela hampir menghukum skuad Selecao yang sibuk mengatur serangan.

Begitupun, Brazil akhirnya meremukkan hati penyokong Venezuela di penghujung perlawanan selepas Gabigol -- yang dikasari dari belakang ketika cuba menerkam bola muntah percubaan Vinicius Junior -- menyudahkan sepakan penalti yang diperolehi sebelum Antony mengukuhkan kedudukan 3-1 menerusi sepakan terakhir permainan.