Emile Smith Rowe memperagakan prestasi mengagumkan bersama Arsenal musim ini dan sedang teruja kerana beerpeluang untuk berlatih dan beraksi di samping seorang bintang Tottenham.

Smith Rowe -– yang merupakan penjaring terbanyak The Gunners dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan empat gol -– pada mulanya diketepikan daripada skuad England kendalian Gareth Southgate itu sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Albania dan San Marino.

Bagaimanapun, penarikan diri James Ward-Prowse dan Marcus Rashford serta keraguan terhadap kecergasan Mason Mount membuka pintu buat pemain tengah berusia 21 tahun itu untuk diserapkan dalam skuad senior di St George's Park.

Smith Rowe teruja dengan peluang di depannya meskipun mungkin mengundang kemarahan peminat kelabnya apabila dia menyifatkan latihan dengan Harry Kane -– ketua pasukan England dan tonggak Spurs yang sedang bergelut dengan prestasinya musim ini – sebagai impian menjadi kenyataan.

"Jelas sekali saya berdepan pemain seperti ini saban minggu tetapi untuk England, ia sentiasa berbeza," katanya kepada pemberita.

"Memakai jersi latihan yang sama dan membuat hantaran kepada satu sama lain –- sungguh gila untuk berada di samping pemain hebat seperti ini. Kane, atas apa yang dicapainya -- begitu juga dengan Raheem Sterling.

"Saya tahu latihan akan menjadi sukar. Saya tidak tenggelam di sini."






Smith Rowe menyertai rakan sekelabnya, Bukayo Saka, dalam skuad kebangsaan.

Saka mempamerkan aksi mengagumkan dalam Euro 2020 walaupun pemain muda itu adalah salah seorang daripada tiga pemain England yang gagal dalam penentuan sepakan penalti perlawanan akhir kepada Itali.

“Saya dan Bukayo begitu rapat di luar padang, saya sangat gembira setiap kali dia bermain untuk England,” katanya lagi.

"Adalah menjadi lebih istimewa untuk berada di sini bersamanya, kami berdua datang dari Hale End (akademi Arsenal). Ia adalah detik penting buat kami dan juga Arsenal."