Lionel Messi cergas untuk menghadapi Brazil di sebalik terjahan keras Luis Martinez ke atas ketua pasukan Argentina itu, menurut ketua jurulatih, Lionel Scaloni.

Pemain Venezuela itu dibuang padang selepas kekasarannya terhadap bintang Paris Saint-Germain (PSG) tersebut dalam kemenangan 3-1 kelayakan Piala Dunia minggu ini sambil pasukan bimbingan Scaloni berkenaan berhasrat mempertahankan rentak tidak kalah mereka.

Terdapat kesangsian mengenai kelibat Messi untuk bertemu Brazil di Sao Paulo, awal pagi esok, bagi melebarkan penguasaan enam mata mereka di puncak zon Amerika Selatan selepas memenangi ketujuh-tujuh perlawanan.

Namun, Scaloni yakin taruhan utamanya itu akan diturunkan dalam skuad utama ketika bercakap kepada media hari ini.

"Leo baik-baik sahaja," katanya.

"Petang ini, kami akan berlatih dan fokus di lapangan. Pemain yang tidak beraksi ketika menentang Venezuela akan terlibat.

"Kami akan tahu 100 peratus keadaan sebenar pada petang ini. Secara dasarnya, dia (Messi) dalam keadaan baik. Ia adalah satu kekhuatiran utama kami dan saya harap dia tetap begitu."



Scaloni menjangkakan satu perlawanan yang sangat sukar selepas menewaskan seteru itu dalam final Copa America tahun ini.

"Siapa pun yang akan dihadapi, mereka adalah lawan yang penting. Kami tidak akan mengendurkan permainan," katanya.

"Mereka beraksi positif dan mereka berada di tahap yang sama tidak kira siapa pun yang diturunkan, mereka memiliki pemain berkualiti di setiap posisi.

"Mereka adalah lawan yang sangat berkualiti, kekuatan menyerang yang sangat ampuh. Sekiranya anda tidak bersedia untuk itu, anda boleh menderita. Jika anda menganggap lawan tidak mampu menyakiti anda maka anda silap.

"Kami sedar ia boleh terjadi tetapi kami juga tahu apa yang harus kami lakukan ketika kami memiliki bola. Kami hanya memiliki satu cara untuk beraksi: mara ke kawasan lawan dengan bola."