Lionel Messi dan Paulo Dybala disenaraikan dalam skuad Argentina bersama tiga pemain lain daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang kempen pusingan kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Messi mengalami kecederaan lutut yang menyaksikan dia terlepas dua perlawanan bersama Paris Saint-Germain (PSG) tetapi berkemungkinan akan diturunkan ketika menentang Manchester City dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Kapten Argentina itu menjaringkan hatrik dalam kemenangan 3-0 ke atas Bolivia pada 10 September lalu tetapi masih belum mendaftarkan sebarang jaringan atau bantuan gol bersama kelab barunya, PSG.

Dybala pula menemui sasaran buat Juventus sebelum terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-22 ketika pasukan itu menewaskan Sampdoria hujung minggu lalu.

Kelab itu mengumumkan semalam bahawa pemain berusia 27 tahun berkenaan akan terlepas perlawanan UCL menentang Chelsea dan aksi 'derby' dengan Torino gara-gara kecederaan, sekali gus tidak dapat beraksi sehingga tamat waktu rehat antarabangsa.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, tetap menamakan Dybala dalam senarai 30 pemainnya menjelang perlawanan pusingan kelayakan menentang Paraguay, Uruguay dan Peru.

Dua pemain Tottenham, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero, turut mendapat panggilan bersama penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez.

Argentina kekal sebagai negara dalam senarai merah United Kingdom (UK) berikutan peningkatan kes koronavirus, di mana kerajaan negara itu menetapkan mana-mana individu yang ingin masuk ke UK daripada kawasan dalam senarai berkenaan perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Villa akan menghadapi Wolves ketika EPL bersambung pada 16 Oktober ini manakala Spurs pula akan bertandang ke laman Newcastle United sehari kemudian.

Senarai pemain Argentina:
Franco Armani (River Plate), Juan Musso (Atalanta), Emiliano Martinez (Aston Villa) Esteban Andrada (Monterrey); Gonzalo Montiel (Sevilla), Nahuel Molina (Udinese), Juan Foyth (Villarreal), Lucas Martinez Quarta (Fiorentina), German Pezzella (Real Betis), Nicolas Otamendi (Benfica), Cristian Romero (Tottenham), Lisandro Martinez (Ajax), Nicolas Tagliafico (Ajax), Marcos Acuna (Sevilla); Leandro Paredes (Paris Saint-Germain), Guido Rodriguez (Real Betis), Nicolas Dominguez (Bologna), Giovani Lo Celso (Tottenham), Exequiel Palacios (Bayer Leverkusen), Rodrigo De Paul (Atletico Madrid), Alejandro Gomez (Sevilla); Nicolas Gonzalez (Fiorentina), Angel Di Maria (Paris Saint-Germain), Lucas Alario (Bayer Leverkusen), Lionel Messi (Paris Saint-Germain), Paulo Dybala (Juventus), Lautaro Martinez (Inter), Joaquin Correa (Atletico Madrid), Julian Alarez (River Plate).