UKRAINE 1 PERANCIS 1

Anthony Martial gembira mengakhiri kemarau golnya bersama Perancis walaupun mereka gagal menundukkan Ukraine dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.


Les Bleus terikat 1-1 di Kiev untuk seri kelima berturut-turut buat pertama kalinya dalam sejarah pasukan.

Dengan Kylian Mbappe kembali ke Paris Saint-Germain (PSG), Martial menerajui serangan di samping Antoine Griezmann yang turut diturunkan ketika menentang Bosnia-Herzegovina dalam perlawanan terakhir.

Penyerang Manchester United itu melepaskan peluang keemasan untuk memecahkan kebuntuan perlawanan apabila rembatannya diselamatkan oleh Andriy Pyatov selepas menerima hantaran Paul Pogba.

Untuk menambah kekecewaannya, Ukraine melancarkan serangan balas yang berakhir dengan gol pembukaan daripada Mykola Shaparenko.

Selepas 28 perlawanan tumpul di peringkat kebangsaan, kali ini nasib menyebelahinya untuk menggegar jaring menerusi tendangan voli dari jarak enam ela.





Satu-satunya gol Martial sebelum ini adalah menerusi kemenangan 3-1 ke atas Itali pada September 2016 dan pemain berusia 25 tahun itu mengakui penantian ini mengecewakan.

Dia menyasarkan untuk mengalahkan Finland, Rabu depan, dalam usaha mengukuhkan kedudukan Perancis di puncak Kumpulan D.




"Memang seronok rasanya menjaringkan gol terutama selepas jangka waktu yang lama. Sudah lama!" katanya kepada M6.

"Ini perlawanan yang sukar bagi kami tetapi kami dapat kembali menemui gol dan itu adalah perkara yang paling penting.

"Kami mempunyai satu perlawanan lagi sebelum jendela antarabangsa berakhir dan kami perlu memenanginya.

"Saya cuba memasukkannya ke celah kaki penjaga gol dalam peluang pertama dan sayangnya dia dapat menyelamatkan percubaan saya. Kemudian, mereka pula merobek gawang kami.

"Kami semua kecewa, tetapi kami dapat bangkit dan kami akan mempunyai tugasan ketika menentang Finland kelak."