Pemain tengah Liverpool, Fabinho, terkeluar daripada senarai skuad Brazil menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia dan akan digantikan dengan Allan.

Fabinho, yang digunakan sebagai pertahanan tengah oleh Jurgen Klopp selepas Virgil van Dijk dan Joel Matip terpaksa direhatkan, mengalami kecederaan paha ketika Liverpool menewaskan Midtjylland 2-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi kelmarin.

Pemain berusia 27 tahun itu sah akan terlepas perlawanan kelayakan Piala Dunia di mana Brazil menentang Venezuela dan Uruguay bulan depan.

Pemain tengah Everton, Allan, yang pernah sembilan kali mewakili Brazil, dipilih untuk mengambil alih tempat Fabinho.

"Pasukan teknikal skuad Brazil telah memanggil pemain tengah, Allan, daripada Everton, England bagi dua perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022," kata Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) dalam satu kenyataan.

"Pemain itu akan menggantikan pemain Liverpool, Fabinho, yang terpaksa dihantar pulang kerana mengalami kecederaan otot di paha kanannya."

Brazil kini mendahului carta pusingan kelayakan CONMEBOL selepas melakar kemenangan dalam dua perlawanan pertama menjelang aksi menentang Venezuela pada 13 November ini.