Penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad, sedia menggalas tugas selaku penggempur utama negara selepas mencipta jaringan hatrik pertamanya di pentas antarabangsa.

Syafiq melakukan kebangkitan luar biasa selepas kembali pulih daripada kecederaan Ogos lalu dan sejak itu, penyerang kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang, berkenaan mencetak jaringan demi jaringan di pentas antarabangsa.

Dia meledak hatrik dalam aksi pemanas badan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi sementara menghasilkan masing-masing satu gol ketika berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan lalu.

"Daripada segi individu, saya rasa ia (prestasi malam tadi) masih belum cukup untuk lawan dengan Vietnam kelak tetapi ia boleh dijadikan satu momentum untuk kami terus ke hadapan.

"Dengan corak permainan Sri Lanka yang sama dengan Vietnam, ia boleh (mewujudkan) satu situasi untuk kami menentang Vietnam ," katanya.

Syafiq, yang mempunyai reputasi selaku penjaring terbanyak skuad negara dengan lima gol tahun ini, mengakui kemenangan 6-0 malam tadi merupakan aksi terbaiknya sepanjang kariernya.

Begitupun, penyerang berusia 24 tahun tersebut belum puas apabila bertekad mencipta jaringan dalam pertemuan ketiga Kumpulan G dengan skuad kendalian Park Hang-seo itu di tempat lawan, Khamis ini.

"Dengan apa yang ditunjukkan rakan sepasukan, kami perlu teruskan semangat dan karakter seperti malam ini (tadi) untuk berdepan Vietnam," katanya.