Jurulatih Indonesia, Simon McMenemy, enggan menjanjikan bulan dan bintang kepada penyokong skuad Garuda walaupun kelibat pemain ke-12 bakal menjadi senjata utama pasukannya dalam pertemuan esok.

Skuad Indonesia akan turun dengan kelebihan selaku tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno untuk aksi pembukaan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kehadiran ribuan penyokong pasukan itu mampu memberi suntikan semangat tambahan kepada barisan pemainnya dalam usaha menafikan hajat lawan meraih kemenangan.

Namun, jurulatih berusia 42 tahun dari Scotland itu sebaliknya mengambil pendekatan berhati-hati apabila menganggap situasi berkenaan bukan jaminan buat pasukannya untuk membuka langkah kanan.

"Apabila anda (wartawan) meminta jurulatih untuk berjanji, ia satu tindakan yang sangat berbahaya.

"Saya berpengalaman dan cukup memahaminya (membuat janji).

"Apa yang boleh saya janjikan, saya mempunyai 25 pemain yang tidak sabar untuk beraksi," katanya dalam sidang akhar di Jakarta, hari ini.

Apa pun, bekas jurulatih Filipina tersebut mengakui pasukannya sudah cukup bersedia untuk mengharungi perlawanan yang bakal menguji kekuatan mental anak buahnya.

Ini berdasarkan persiapan rapi yang diharungi mereka menerusi dua aksi persahabatan tertutup berdepan dua kelab tempatan, Bhayangkara FC dan Persika Karawang.

"Sejak dua minggu lalu, kami bercakap mengenai mengekalkan tumpuan (dalam perlawanan).

"Kami mempunyai perancangan, kami mahu menurutinya, baik ketika menyerang mahupun bertahan.

"Apakah kami boleh mengekalkan tumpuan sepanjang 96 minit permainan?," tambahnya.

Sementara itu, debaran pertemuan dua musuh serumpun itu semakin hangat apabila jualan tiket bagi perlawanan itu tetap memberangsangkan walaupun sedikit perlahan.

Jualan tiket perlawanan itu sebelum ini mendapat sambutan hambar tatkala Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) memperuntukkan 70,000 keping tiket.

Ia susulan rata-rata penyokong skuad Garuda dikatakan tidak berpuas hati dengan harga tiket yang melambung tinggi berbanding perlawanan antarabangsa terdahulu.

Namun, menurut laporan media tempatan, hari ini sebanyak 40,000 keping tiket, yang membabitkan jualan tiket secara di atas talian dan fizikal, sudah terjual.

"Tiket semakin banyak diserbu (dibeli) masyarakat Indonesia sejak dua minggu lalu," kata seorang penyokong yang ditemui di venue pertandingan.

Tinjauan Nadi Arena pula mendapati ada segelintir penyokong tuan rumah masih mendapatkan tiket di kedai rasmi penjualan tiket.

Biarpun perlawanan dijangka 'panas', penyokong tuan rumah tetap mengharapkan pertemuan membabitkan dua seteru itu berlangsung dengan lancar tanpa insiden tidak diingini sebelum atau selepas perlawanan.

"Saya sebagai peminat bola sepak menyeru penyokong Indonesia agar (menampilkan) semangat kesukanan. Mereka tidak harus melakukan provokasi atau melakukan hal-hal yang tidak baik.

"Ini adalah pertandingan yang boleh membawa kami ke Piala Dunia, ke peringkat antarabangsa," kata seorang lagi penyokong.