Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan pemain negara usah taksub dengan media sosial agar dapat fokus untuk melunaskan misi dalam kempen Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Menjelaskan tegurannya baru-baru ini bukan sahaja untuk Matthew Davies, Tunku Ismail mahu anak buah Tan Cheng Hoe bangkit dengan 'action speak louder than words'.

Perkongsian itu dibuat Tunku Ismail dalam temubual eksklusif bersama Hafizal Hamad dan Zulhelmi Zainal Azam dalam program Nindia Bola.

"Gunakan telefon untuk menghubungi rakan serta keluarga, memuat naik gambar tidak mengapa tetapi jangan taksub dengan sosial media kerana majoriti komen berbentuk negatif sekaligus ia akan menjejaskan tumpuan serta mentaliti pemain," kata Tunku Ismail.

Terdahulu, Davies memuat naik sekeping gambarnya dengan kapsyen, masa untuk membetulkan kesilapan dan kembali dengan lebih kuat, fokus pada perlawanan akan datang.

Tunku Ismail kemudian meninggalkan ayat yang agak 'pedas' di ruangan komen, pemain itu perlu memulakan segalanya dengan terlebih dahulu diam di media sosial dan terus berusaha.

Sementara itu, dalam temubual yang mendapat lebih 30,000 tontonan semalam, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut mendedahkan beberapa perkara mengenai skuad Harimau Selatan.

Ia membabitkan status pinjaman Liridon Krasniqi dari kelab A League, Australia Newcastle Jets, perancangan terhadap Syahrian Abimanyu dan Hong Wang serta status naturalisasi, Gonzalo Cabrera, termasuk pemain import yang bakal ditandatangani Disember depan.

"Mereka akan beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia, tetapi bukan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.

"Liridon akan dipinjamkan ke Thailand dan buat masa ini ia berada dalam perancangan."