Kemunculan kali pertama bersama skuad Harimau Malaya ketika tumpas 0-1 kepada Jordan dalam perlawanan ujian di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat lalu, menyumbang keterujaan buat anak jati Perak, J. Partiban.

Mendapat mandat daripada jurulatih negara yang mengisi namanya dalam senarai 24 pemain untuk tugasan di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Khamis ini, umpama amanat yang perlu disudahkan dengan kejayaan.

"Saya masuk dalam separuh masa kedua (ketika menentang Jordan).

"Mungkin kalau saya diletakkan dalam kesebelasan utama, mungkin saya boleh tunjukkan (aksi) yang lebih baik.

"Saya perlu menyesuaikan diri dengan pasukan," "kata pemain yang sinonim beraksi di bahagian sayap kanan itu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Menurutnya lagi, sebelum ini dia hanya mendengar kegilaan provokasi melibatkan pertembungan 'musuh serumpun' itu melalui media massa.

Kini, dia bakal menyaksikannya sendiri, namun semangatnya untuk tidak terkesan dengan kontroversi yang bakal dilalui mampu menjadi titik tolak kepada Harimau Malaya untuk mencapai kemenangan jika diberikan peluang.