Beberapa pemain bakal menjadi tumpuan dalam misi merobek kubu lawan menjelang aksi kedua Harimau Malaya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Pertemuan itu dianggap paling mencabar buat skuad kebangsaan dalam saingan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 itu berdasarkan jurang ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kedua-dua pasukan.

Anak buah Tan Cheng Hoe di kedudukan ke-159 sementara skuad kendalian Bert van Marwijk itu pula di ranking ke-65.

Cheng Hoe tetap optimis Malaysia untuk menyerlahkan saingan hebat selepas mengalahkan Indonesia 3-2 dalam pembukaan kempen di Jakarta, Khamis lalu.

Beliau juga mengakui akan melakukan perubahan taktikal memandangkan lawan memiliki kualiti berbeza jika dibandingkan dengan skuad Garuda itu.

Van Marwijk pula mengakui UAE mempunyai ramuan tersendiri untuk memulakan kempen dengan langkah kanan berdasarkan pengalaman berdepan Harimau Malaya ketika membimbing Arab Saudi pada 2015 dalam kelayakan edisi sebelum ini.

Perancang utama lawan, Omar Abdulrahman Ahmed Al Raaki Al Amoodi, dijangka menjadi ancaman utama dalam pertemuan itu.

Ikuti laporan penuh dalam Nadi Arena jam 5.30 petang dan 7.30 malam ini.