Usah gentar dengan aura Stadium Gelora Bung Karno (GBK).

Tan Cheng Hoe menuntut barisan pemain kebangsaan supaya bijak menyerap tekanan ketika beraksi di hadapan ribuan penyokong fanatik Indonesia dalam misi menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang keramat itu, malam esok.

Skuad Harimau Malaya berdepan ujian paling getir apabila bertemu skuad Garuda itu memandangkan rekod menunjukkan anak buahnya terlalu sukar untuk menumbangkan tuan rumah itu dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

Kali terakhir Malaysia berjaya keluar sebagai pemenang di venue itu adalah pada 2004, iaitu ketika aksi separuh akhir Kejohanan AFF menerusi kemenangan 2-1 hasil dua gol sumbangan Liew Kit Kong.

Justeru, pengendali Harimau Malaya berusia 51 tahun tersebut mengakui kekuatan mental pemainnya perlu berada di tahap terbaik untuk memastikan permulaan sempurna dalam misi kelayakan ke Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Bukan mudah apabila kami bertandang ke GBK ini kerana kami sedar keputusan selalunya memihak kepada Indonesia.

"Kami tidak boleh terlalu memandang kepada rekod pertemuan lalu, kami perlu terus bergerak ke depan.

"Ini adalah bab baru (buat kedua-dua buah negara) dengan (barisan) pemain dan jurulatih yang baru.

"Saya pasti pemain saya akan berikan aksi terbaik kerana kami perlukan keputusan positif untuk memulakan kempen kelayakan," katanya dalam sidang media menjelang aksi pembukaan Kumpulan G itu di Jakarta, hari ini.

Cheng Hoe dijangka melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya susulan pemain sayap, Mohamadou Sumareh, sudah cergas sepenuhnya untuk diturunkan.

"Kami gembira dia sudah mula berlatih bersama pasukan dan dia bermotivasi tinggi kerana ini adalah kelayakan Piala Dunia.

"Bukan dia sahaja, bahkan pemain-pemain negara yang lain juga untuk mendapatkan satu keputusan yang positif," katanya lagi.