"Misi padam sejarah hitam di Hanoi."

Itu semangat yang dilontarkan ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe, dan pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan, apabila turun berdepan Vietnam dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Hanoi, Khamis ini.

Keyakinan itu hadir apabila Cheng Hoe melihat perubahan serta peningkatan dalam corak permainan anak buahnya yang telah mencatat beberapa keputusan positif dalam kempen kelayakan ini.

Pengendali berusia 31 tahun itu turut mengidamkan mata penuh dalam aksi ketiga Kumpulan G itu bagi meletakkan Malaysia di kedudukan lebih selesa.

Skuad Harimau Malaya gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga aksi terakhir bertemu Vietnam dalam Piala Suzuki AFF, tahun lalu.

"Memang benarlah kami gagal mencapai kemenangan ke atas Vietnam dalam tiga perlawanan lalu.

"Setiap hari saya beritahu pemain supaya tukar corak pemikiran mereka.

"Walaupun bermain di tempat lawan, kami perlukan keyakinan diri.

"Sudah tentu kerjasama dan semangat sepasukan penting kerana kami perlu dapatkan keputusan terbaik bulan ini," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke venue perlawanan itu, hari ini.

Brendan pula menganggap tahap keyakinan yang tinggi akan menjadi pembakar semangat buat mereka untuk menebus maruah di laman lawan.

"Kami bermain dengan cukup baik dan melaksanakan apa yang dirancangkan (dalam perlawanan terdahulu) tetapi dalam masa yang sama, kami juga menguji kombinasi serta pemain baru.

"Saya berasakan pemain yang tersenarai kali ini merupakan barisan terbaik negara ketika ini.

"Kami akan menghadapi perlawanan seperti yang telah direncanakan oleh jurulatih dan saya berharap ia memadai," kata tonggak Perak itu.