Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, merupakan satu-satunya pemain dalam skuad negara terkini yang pernah melalui detik cemas menaiki kereta perisai ketika Malaysia menjulang Piala AFF dengan menewaskan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 2010.

Pengalaman dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras ketika beraksi dalam final berkeamatan tinggi itu amat ditagih ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, dalam aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia, malam esok.

Cheng Hoe mengakui kelebihan yang dimiliki penyerang Pahang berusia 33 tahun itu atau turut dikenali sebagai Mat Yo mampu membantu pemain muda negara untuk menyerap tekanan yang bakal diberikan puluhan ribu penyokong skuad Garuda.

“Skuad 2010 dan 2019 sangat berbeza dan kini hanya tinggal Norshahrul seorang. Sudah tentu dengan pengalamannya, saya harap dia dapat memimpin pasukan, terutama di bahagian jentera serangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jakarta.

Cheng Hoe, bagaimanapun, menjelaskan tanggungjawab untuk meraih tiga mata berharga tidak terletak di bahu Norshahrul seorang sahaja, sebaliknya seluruh barisan pemain negara.

Pengendali berusia 51 tahun itu menuntut setiap pemain yang diturunkan dalam perlawanan esok akan menampilkan semangat juang tinggi selain menggunakan pendekatan bermain secara berpasukan sebagai kunci utama untuk meraih kemenangan.

“Bukan kami nak letak tekanan terhadap Norshahrul tetapi sebagai satu pasukan, kami perlu saling memberi sokongan dan pada masa sama, saya optimis kami mampu bermain sebagai satu pasukan dengan semangat yang tinggi,” jelas bekas ketua jurulatih Kedah itu.

Sebagai rekod, Malaysia menewaskan Indonesia dalam final Piala AFF 2010 dengan agregat 4-2 selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 dalam aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum tumpas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno dalam pertemuan akhir kedua.

Kedua-dua pasukan telah merekodkan 95 pertemuan dengan kali terakhir pada 2016 yang menyaksikan Indonesia menang 3-0 ketika melayani kunjungan Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa.

-- BERNAMA