Selepas tewas 0-1 kepada Jordan malam tadi, jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, memberi 'nyawa kedua' kepada Danial Amier Norhisham dan J. Partiban apabila dua pemain itu tersenarai dalam skuad 24 pemain ke Jakarta, Indonesia, sambil tiga pemain lain yang diketuai penyerang sensasi, Ahmad Hazwan Bakri, digugurkan.

Danial Amier, Partiban dan Brendan Gan antara muka baru yang diberi peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking ke-99 itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketika Brendan menyerlahkan kemampuannya di atas padang, prestasi pemain tengah Felda United dan Perak itu pula belum memuaskan berdasarkan penilaian jurulatih berusia 51 tahun itu sendiri.

"Ini kali pertama Danial Amier bermain untuk pasukan senior jadi bukan senang untuknya berdepan Jordan yang rankingnya jauh lebih baik daripada kami.

"Saya tidak salahkan persembahannya tetapi dia harus belajar sesuatu daripada perlawanan ini.

"Partiban pula masih perlu tingkatkan usaha untuk menyesuaikan diri dengan permainan skuad negara sementara Brendan beraksi dengan baik," jelasnya sejurus perlawanan.

Berdasarkan pengumuman rasmi barisan pemain negara hari ini, bekas pengendali Kedah itu menggugurkan Ahmad Hazwan dan Jafri Firdaus Chew berikutan masalah prestasi manakala Faiz Nasir ekoran demam.

Cheng Hoe memutuskan untuk membawa 24 pemain sebagai langkah persediaan jika Mohamadou Sumareh gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan menjelang pertemuan dengan skuad Garuda untuk membuka kempen Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis depan.

Senarai 24 pemain:

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias (Johor Darul Ta'zim -- JDT); Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak); Mohd Ifwat Akmal Che Kassim (Kedah).

Pertahanan: Adam Nor Azlin dan La'vere Corbin-Ong (JDT); Shahrul Mohd Saad dan Nazirul Naim Che Hashim (Perak); Matthew Davies (Pahang); Muhammad Syahmi Safari (Selangor); Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur); Dominic Tan (Police Tero FC).

Pemain tengah: Brendan Gan, J. Partiban (Perak), Mohamadou Sumareh, Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Muhammad Akram Mahinan (PKNS FC), Muhamad Danial Amier Norhisham, Muhammad Hadin Azman (Felda United), Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT).

Penyerang: Muhammad Syafiq Ahmad (JDT); Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak); Norshahrul Idlan Talaha (Pahang).