"Pemain tidak disiplin dan tidak mengikut arahan yang diberikan."

Kekecewaan itu diluahkan pengendali skuad bola sepak wanita negara, Jacob Joseph, selepas langkah kiri dalam kelayakan Piala Asia 2022 apabila tewas 0-4 kepada Thailand dalam pertemuan Kumpulan H.

Ketua jurulatih itu sudah mengenal pasti kelemahan pasukan malah menjanjikan aksi lebih baik menerusi pendekatan berbeza menjelang aksi menentang Palestin, malam esok.

Jacob tidak berselindung meluahkan kekecewaannya itu selepas melihat skuad bimbingannya kecundang kepada Gajah Perang biarpun lawan mereka berkenaan memiliki status layak ke Piala Dunia 2015 dan 2019.

Kekecewaannya terarah kepada sesetengah pemain yang tidak mengikut arahan yang telah diberikan, secara tidak langsung menjadi detik kejatuhan prestasi pada awal permainan apabila dibolosi dua gol dalam dua minit pertama.

Enggan terus menjadi pasukan belasahan, Jacob mahu mencorak permainan menyerang ketika menentang Palestin dan mengembalikan maruah skuad negara yang berada di ranking ke-92 dunia.

"Kelemahan ketara kami ketika berdepan Thailand ialah keyakinan goyah selain kelemahan disiplin pemain memandangkan kami turun dalam perlawanan pertama.

"Saya akan tukar corak permainan dan mungkin merehatkan dua pemain ketika bertemu Palestin.

"Corak permainan kami tidak akan sama seperti Thailand.

"Thailand telah menjalani persiapan selama dua bulan, mereka juga menyertai kejohanan antarabangsa seperti Piala Arab Wanita apabila kalah 1-4 kepada Jordan dan Algeria.

"Kalau menang ke atas Palestin esok juga merupakan satu bonus," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.