MALAYSIA 0 THAILAND 4

Skuad bola sepak wanita negara memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 dengan langkah kiri apabila tewas 0-4 kepada Thailand di Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini, Palestin sebentar tadi.

Selepas dua tahun tanpa sebarang aksi kompetitif, The Malayan Tigress jelas masih tercari-cari rentak terbaik sebagai satu pasukan dalam aksi pembukaan Kumpulan H itu.

Buktinya, Thailand mendahului 2-0 seawal dua minit pertama menerusi ketajaman Kanyanat Chetthabutr dan Nutwadee Pram-nak.

Kanyanat berhasil merobek gawang Malaysia seawal 33 saat pertama menerusi tandukannya sebelum giliran Nutwadee menewaskan penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan, hasil satu lambungan dari luar kotak penalti sebelum minit kedua.

Pada minit ke-37, Kanyanat sekali membuktikan kerbekesanannya di dalam kotak penalti untuk memastikan Thailand berkelebihan selesa menuju ke bilik persalinan.

Thailand meneruskan penguasaan mereka dalam babak kedua dan Kanyanat kemudian melengkapkan hatriknya dalam waktu kecederaan untuk membawa pasukan Gajah Perang itu selangkah ke pusingan akhir di India tahun depan.

Seterusnya, Malaysia akan berdepan tuan rumah, Palestin, di venue sama Rabu ini.


*Kredit foto: AFC