Pemain futsal wanita negara, Steffi Sidhu, mendapat panggilan untuk memperkuatkan skuad bola sepak negara menjelang pusingan kelayakan Piala Asia Wanita bulan depan.

Menurut ketua jurulatih, Jacob Joseph, pemilihan Steffi itu terpaksa dilakukan memandangkan seorang pemainnya tidak dapat bersama pasukan berikutan masalah pasport.

Sebagai rekod, Steffi pernah berkhidmat sebagai pemain bola sepak di bawah Jacob dari 2011-2012.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend, Jacob berkata: "(Saya memanggil) 17 pemain muda dan terpaksa memasukkan nama pemain futsal, Steffi, dalam pasukan bola sepak wanita kerana ada seorang pemain saya dari Sabah mempunyai masalah pasport.

"Jumaat lalu merupakan hari terakhir (penyenaraian pemain), jadi saya memanggil Steffi untuk menyertai pasukan kami."

Kem latihan skuad wanita negara akan bermula pada 21 Ogos ini dan mereka akan menjalani persiapan selama 25 hari melibatkan 11 pemain berpengalaman dan 17 pemain muda.

Bagaimanapun, status Steffi bersama pasukan itu hanya akan diketahui minggu depan memandangkan dia terlebih dahulu perlu mendapatkan pelepasan daripada majikannya, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan H saingan di Palestin itu dan akan memulakan aksi dengan berdepan Thailand pada 19 September depan sebelum bertemu tuan rumah tiga hari kemudian.