Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, menjanjikan tiada laluan mudah buat Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E, pusingan terakhir kelayakan Piala Asia 2023 (2023 Asian Cup qualification) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu turut mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu menghormati pihak lawan biarpun Bahrain kini menduduki tangga ke-89 kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) -- Malaysia di tangga ke-154.

Dia optimis Harimau Malaya mampu menghadirkan masalah buat lawan berkenaan dengan menampilkan kesebelasan terbaik yang cergas sepenuhnya.

"Kami tidak perlu berasa takut, kami tidak perlu terlalu memikirkan mengenai kedudukan ranking lawan," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Dengan penuh kekuatan, dengan penuh ketegasan, kami mahu menunjukkan kepada mereka betapa pasukan Malaysia mempunyai kekuatan mental yang baik dengan semangat juang yang tinggi.

"Kami mahu memberikan rasa kebanggaan buat penyokong Malaysia. Itulah fokus kami dalam pusingan kelayakan ini.

"Ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar berdasarkan kualiti dan pengalaman yang dimiliki mereka.

"Tetapi saya boleh katakan yang kami sudah bersedia. Kami menghormati mereka tetapi kami tetap mahu bermain dengan cara kami.

"Mereka pasukan yang kuat tetapi kami juga bukan pasukan yang mudah.

"Pemain kami mempunyai kekuatan daripada segi fizikal dan mental dan saya fikir mereka akan menderita, mereka akan menderita dalam perlawanan malam esok," katanya.