Antara nama yang mencuri tumpuan dalam senarai panggilan persiapan Harimau Mlaya sempena pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 sudah semestinya penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula.

Penyerang berusia 36 tahun itu antara muka baru yang tersenarai selain daripada Matthew Davies, Nazmi Faiz Mansor, Syahmi Safari, Norshahrul Idlan Talaha serta penyerang Petaling City (PJ), Darren Lok.

Sementara itu, 11 pemain dalam senarai bersedia antaranya tonggak tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa, Ramadhan Saifullah Usman serta penjaga gol Penang, Khatul Anuar Md Jalil.




Pengendali kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon, mengakui bahawa semua pemain memiliki peluang sama rata untuk merebut slot senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas cabaran negara dalam Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bulan depan.

"Saya faham ada kejutan terhadap nama (yang tersenarai).

"Saya sentiasa tidak menamakan individu sebaliknya pasukan. Kami akan menghadapi kejohanan penting dan merupakan kelayakan Piala Asia.

"Ini merupakan panggilan kedua kami, saya tidak mahu berasa penyesalan.

"Mungkin berdasarkan strategi, kami perlu buat pilihan. Mungkin ia tidak diterima oleh kamu, mungkin penyokong sukar memahami.

Tapi kalau barisan kejurulatihan mendapati ia sesuai dengan perancangan kami boleh menghasilkan keputusan. Kami cuba putuskan untuk berikan yang terbaik bagi pihak kamu," katanya.

Malaysia ditempatkan sekumpulan dengan Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.