Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon menegaskan pencarian tujuh mata untuk melayakkan diri ke pentas Piala Asia perlu bermula dengan kutipan tiga mata penuh ke atas Turkmenistan esok.

Tujuh mata, itu adalah keperluan utama -- Ia membawa kepada perancangan mudah pada dasarnya dengan merencanakan aksi menyerang dan mendominasi permainan dengan pencarian gol awal di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Seluruh tumpuan peminat bola sepak negara tertumpu kepada ujian sebenar skuad Pan-gon menjelang aksi pertama kelayakan Piala Asia bertemu Turkmenistan.

Samada ia membawa tekanan atau sebaliknya, hanya satu kemahuan yang mahu dinoktahkan selepas 90 minit esok, iaitu kemenangan.

Demi merealisasikan congakan Pan-gon, setiap kelebihan skuad negara perlu digunakan sebaiknya.

Waima ia melibatkan kepenatan pihak lawan dengan perbezaan masa selain kuranya latihan dalam tempoh seminggu ini.

"Sememangnya kami menyasarkan tiga mata bertemu Turkmenistan. Jika kami mahu beraksi di Piala Asia, tujuh mata diperlukan dan kami akan cuba yang terbaik untuk mencapai sasaran itu," kata Pan-gon menerusi Nadi Arena.

Kelibat Akhyar Rashid dan Safiq Rahim sekadar mengisi ruang luar padang dalam sesi latihan semalam.

Pan-gon tidak berdalih dengan status kedua pemain itu yang berada dalam pemantauan skuad kecergasan namun yakin kedua-duanya cergas andai diberikan tanggungjawab untuk perlawanan esok.

Pertahanan negara, Dion Cools, turut berkongsi pandangan bagi perlawanan esok dengan berkata, "Saya dan rakan sepasukan tidak pernah bertemu Turkmenistan, seperti apa yang dikatakan oleh jurulatih, kami akan cuba mengikut perancangan yang ditetapkan bagi perlawanan ini."