Jika pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bersambung bulan depan, ia akan menjadi satu petanda bahawa Malaysia mungkin akan terus kempunan untuk melayakkan diri ke kejohanan itu.

Tanpa sebarang kem latihan sepanjang setahun ini, skuad negara membawa cita-cita yang tinggi dengan persediaan yang amat hambar.

Justeru, Harimau Malaya perlu berharap agar cadangan untuk aksi secara karnival diadakan pada Jun depan akan diterima dan diluluskan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena hari ini, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, bekata: "Kami memang sedang mengusahakannya dan kami sudahpun menghantar surat kepada AFC untuk menangguhkan perlawanan itu kepada Jun depan.

"Saya difahamkan bahawa ada beberapa negara telah menyatakan persetujuan tetapi ia belum secara keseluruhan.

"Kami sedang menunggu keputusan rasmi AFC sama ada ia akan dikekalkan bulan depan atau ditunda ke Jun depan," katanya

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengakui bahawa pasukannya tidak akan berjaya memenangi sebarang perlawanan seandainya tidak dapat memulakan persiapan secepat mungkin.

"Memang kalau kita lihat sepanjang tahun lalu, kami tiada sebarang perlawanan atau latihan. Ia pasti banyak menjejaskan prestasi pasukan kebangsaan kerana persediaan dan persiapan pasukan amat penting untuk menghadapi mana-mana perlawanan atau pertandingan.

"Dan tanpa persediaan dan persiapan yang terbaik, amat sukar untuk kami memenangi mana-mana perlawanan," katanya.