Tonggak utama skuad Malaysia, Safawi Rasid, berpandangan kemenangan 1-0 ke atas Thailand dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 dirinya bukan wira negara malah menyifatkan hasil tiga mata yang diperoleh merupakan usaha sepasukan.

Selepas melewati dua kekalahan beraksi dalam saingan kelayakan kepada Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam sebelum ini, timbul perasaan gembira buat seluruh rakyat Malaysia apabila Harimau Malaya berjaya mengatasi Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi tadi.

Gol kemenangan terhasil menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Safawi, apabila dia dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-52 sekaligus menghadiahkan tiga mata buat skuad negara dan muncul pasukan ketiga terbaik dalam Kumpulan G.



Mengambil petikan menerusi Berita Harian, Safawi memberitahu, "Tahniah kepada pasukan kerana memberikan komitmen yang sangat terbaik. Bukan mudah menentang Thailand.

"Malaysia telah memberikan yang terbaik untuk menang, sekurang-kurangnya tiga mata untuk dibawa pulang ke Malaysia. Bukan saya pemain terbaik perlawanan, bagi saya pemain terbaik adalah seluruh pasukan," katanya selepas perlawanan.

Juara kumpulan menjadi milik UAE yang memperoleh 18 mata selepas mengatasi Vietnam 3-2 dalam satu lagi perlawanan.