Kelayakan Piala Asia: FAM perlu cari dana sendiri jika mahu jadi tuan rumah

Muzaffar Musa
Oktober 25, 2021 10:54 MYT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari dana atau penaja sendiri sekiranya mahu menjadi tuan rumah pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun depan.
Ini selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menegaskan bahawa kepentingan pihaknya ketika ini adalah untuk membangunkan semula sektor sukan yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.
Kehadiran penyokong di tempat sendiri sudah pasti akan menjadi kelebihan buat skuad negara tetapi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpendapat, menjadi tuan rumah dalam kejohanan kelayakan itu bukanlah suatu keutamaan.
Ini kerana arena sukan negara memerlukan suntikan dana untuk dibina semula, terutama selepas banyak fasiliti sukan terpaksa gulung tikar gara-gara pandemik berkenaan.
"Jika ia boleh mendatangkan hasil daripada segi pelancongan sukan, ia boleh difikirkan tetapi pada masa yang sama, saya kira buat masa ini, kerajaan amat menumpukan terhadap usaha pasca pandemik (COVID-19) bagi menyelesaikan masalah rakyat dan sebagainya," kata Faizal seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Jadi, perkara itu masih berada di fikiran kami tetapi pada akhirnya, keputusan untuk mengeluarkan perbelanjaan sebegitu besar, tentunya Perdana Menteri dan Kabinet akan memastikan ia menjurus kepada perkara yang lebih penting, iaitu ekonomi rakyat."
Terdahulu, FAM berhasrat untuk menjadi salah satu tuan rumah daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada 24 pasukan bertanding demi sasaran layak ke kejohanan utama di China pada 2023.
Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia ialah pada 2007 dengan manamatkan cabaran di tangga tercorot Kumpulan C -- tewas kesemua tiga perlawanan dan dibolosi 11 gol.
#Kelayakan Piala Asia #Kementerian Belia dan Sukan #Faizal Azumu