Skuad muda negara memastikan tiga mata berjaya diperoleh ketika bertemu Sri Lanka dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023, di Mongolia sebentar tadi.

Misi wajib menang Malaysia terhasil apabila memastikan kemenangan 3-0 ke atas Sri Lanka dalam misi memburu slot secara automatik ke Piala Asia 2023 Uzbekisyan pada Mac 2023.

Tumpuan skuad kendalian Hassan Sazali Waras kini beralih untuk pertemuan terakhir dengan Korea Selatan dan kemenangan yang hanya memastikan mereka layak secara automatik ke Uzbekistan.

Jika gagal, skuad negara perlu mengharapkan nasib mereka berada dalam kelompok lima naib juara terbaik daripada 10 kumpulan untuk merebut tiket ke Uzbekistan.

Korea Selatan yang meraih kemenangan besar buat kali kedua dengan membelasah tuan rumah, Mongolia 7-0 tengah hari tadi kini memimpin kumpulan selepas mengumpul enam mata.

Malaysia membuka jaringan pada minit ke-30 hasil penyudah Aliff Izwan Yuslan susulan menerima hantaran Adam Farhan.

Sri Lanka terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila Navod Lakshitha dilayangkan kad merah pada minit ke-53 selepas menerima kad kuning kedua.

Kelebihan itu digunakan Malaysia dengan sebaik mungkin, Adam menambah gol kedua pada minit ke-70, sebelum Aliff mengesahkan kemenangan dengan jaringan ketiga pada masa kecederaan.