Kelayakan Piala Asia B-23: Tiga bintang di luar negara taruhan Maloney

Muzaffar Musa
Ogos 13, 2021 12:28 MYT
Tiga pemain muda Malaysia yang sedang berpangkalan di luar negara kelihatan akan mengisi slot automatik skuad B-20 negara bagi kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia hujung Oktober depan.
Ketua jurulatih skuad B-20 negara, Brad Maloney, mengesahkan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Wan Kuzri Wan Kamal (University of Akron) dan V. Annil (SGV Freiburg) akan menyertai kem latihan pusat pasukannya di Dubai pada awal Oktober depan.
Menurutnya, ketiga-tiga pemain itu telah menunjukkan perkembangan positif bersama kelab masing-masing ketika pihaknya mengenal pasti 30 pemain yang akan dibawa ke Ulaanbaatar, Mongolia bagi saingan kelayakan itu.
"Semua maklum balas yang diterima berkenaan ketiga-tiga pemain ini amat positif. Mereka kerap bermain dan berlatih," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Annil misalnya, sentiasa berhubung dengan kami dan kini sedang berada dalam kem latihan pasukannya di Austria, jadi ia agak menarik dan sesuatu yang positif buatnya.
"Sudah pasti kita juga tahu mengenai Luqman Hakim. Kami sentiasa berhubung dengannya dan memantau perkembangannya. Dia sedang berlatih dengan gigih dan amat baik.
"Pemain seperti mereka agak sukar untuk kami panggil ke sini bagi menyertai pasukan berikutan keperluan untuk dikuarantin dan perkara seperti itu, jadi apabila tiba masanya, mereka akan menyertai kami, di Dubai misalnya dan kami boleh melakukan persiapan menjelang kejohanan itu di sana," katanya.
#bola sepak #Luqman Hakim Shamsudin #Brad Maloney #Wan Kuzri Wan Kamal #Piala Asia B-23 #V. Annil