Pemain sayap Terengganu II, Syafik Ismail, bertekad menambat hati ketua jurulatih B-20 negara, Brad Maloney, bagi memastikan impiannya beraksi untuk skuad muda kebangsaan tercapai.

Ia selepas Syafik gagal untuk merebut tempat dalam senarai akhir skuad yang dikendalikan jurulatih Bojan Hodak, tiga tahun lalu.

Pemain kidal itu meraih perhatian Maloney apabila disifatkan sebagai antara pemain yang mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika kem latihan fasa pertama skuad B-20 negara sepanjang 30 Ogos sehingga 7 September lalu.

Sebelum ini, dia yang beraksi empat kali dalam Liga Super itu pernah dipanggil menyertai kem latihan berpusat oleh Bojan pada 2018 tetapi gagal meneruskan perjalanannya selepas latihan fasa satu itu.

Ini merupakan kali pertama dia berada di bawah kendalian Maloney dan mengakui sudah selesa dengan jurulatih dari Australia itu.

"Satu rezeki apabila Maloney menganggap saya sebagai antara yang terbaik tapi pastinya saya mahu buat yang lebih baik lagi bermain untuk negara, lagipun saya tidak pernah mewakili Malaysia.

"Perebutan tempat ketika fasa kedua kelak akan menjadi lebih sengit apabila pemain daripada kelab Liga Super menyertai pasukan," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, sebentar tadi.

Skuad muda negara akan kembali ke latihan fasa kedua 19 September ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia, bulan depan.

"Saya boleh menimba pengalaman daripadanya dan taktikalnya juga bagus.

"Kalau boleh saya mahu menyerlahkan lagi bakat yang ada jika dipanggil untuk fasa kedua."