Jurulatih Selangor II, Michael Feichtenbeiner, sedia melepaskan sebahagian besar anak buahnya walaupun terpaksa pening kepala pada kemudian hari susulan saingan Piala Cabaran yang dijangka bertembung dengan kem latihan pusat skuad B-20 negara, September depan.

Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar skuad B-20 negara ke kelayakan Piala Asia B-23 2022, Oktober depan, menimbulkan persoalan mengenai pemilihan pemain.

Ini kerana ramai pemain Selangor II tampak di bawah radar jurulatih skuad muda negara, Brad Maloney, selain beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan kelompok Skuad Projek FAM-MSN.




Feictenbeiner, bagaimanapun, sudah mempunyai pelan B bagi menangani permasalahan itu sekali gus menganggap pelepasan pemain tidak menjadi isu buat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

"Kami sedia mengetengahkan khidmat skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

"Kami memiliki ramai pemain muda berbakat. Kami mahu menjadi kelab yang paling berjaya menggilap bakat muda.

"Inilah peluang buat generasi seterusnya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

Setakat ini Piala Cabaran akan berjalan seperti yang dirancang penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), bermula awal September depan tatkala kem latihan pusat fasa pertama skuad B-20 negara juga dijangka diadakan dalam tempoh yang sama.