Sekurang-kurangnya tiga pemain muda Selangor akan terlepas kem latihan pusat fasa pertama dalam persiapan mengharungi kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia pada hujung Oktober depan.

Pertahanan Selangor II, Ahmad Zikri Khalili, antara calon bagi menampung barisan skuad senior dengan kancah Liga Super bakal berakhir 12 September depan.

"Kami perlu membuat pertimbangan yang lebih mendalam terhadap 2-3 pemain yang terbabit dalam Liga Super.

"Kalau mereka kerap bermain dalam Liga Super, mereka mungkin akan kekal dulu bersama kami.

"Bagi yang kurang beraksi, mungkin akan dilepaskan ke kem kebangsaan.

"Mereka yang kekal (bersama kelab) tetap akan pergi. Mungkin mereka tidak dapat menyertai latihan pusat atau hanya menyertai pasukan negara di Mongolia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon.

Johan turut memberi jaminan pemain-pemain itu tetap akan beraksi bersama skuad kendalian Brad Maloney itu biarpun Piala Malaysia membuka tirai, bulan depan.

Kem latihan fasa pertama akan bermula 30 Ogos ini diikuti fasa kedua di Kuala Lumpur pada 19 September depan sebelum berangkat ke Dubai, 1 Oktober, untuk latihan fasa ketiga.





Dalam perkembangan lain, penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, akan menyertai tempoh percubaan di kelab Eropah pada November depan selepas tamat kempen kempen bersama skuad B-23 negara.

Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu telah menerima surat tawaran daripada sebuah kelab liga Sepanyol, CF Fuenlabrada, untuk menjalani percubaan yang bermula 24 Ogos hingga 1 Septermber depan, namun terpaksa ditunda.

Difahamkan, kelab divisyen dua liga di Belgium turut berminat dengan pemain berusia 19 tahun tersebut.

"Masih belum ada keputusan muktamad tapi sudah tentu keputusannya akan berlandaskan kebaikan kedua-dua pasukan.

"Saya rasa Sikh Izhan Nazrel sendiri ingin menyertai pasukan kebangsaan. Dia mungkin jadi watak utama dalam Piala Malaysia, lagipun musim ini (Liga Malaysia) masih berjalan. Itu yang kami cuba fahami.

"Kami cuba untuk menjadi fleksibel. Dia mungkin akan dilepaskan untuk menjalani pemilihan pada Disember atau Januari depan.

"Kami akan mengadakan perbincangan lanjut pada minggu ini."