MALAYSIA 1 LAOS 0

Skuad B-22 negara muncul pendahulu Kumpulan J selepas menewaskan Laos 1-0 dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia sebentar tadi.

Gol tunggal daripada pemain Terengganu FC II, Azfar Fikri Azhar, sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat skuad negara, sekaligus menjadi pendahulu kumpulan selepas Thailand dan Mongolia terikat 1-1 dalam perlawanan lebih awal.

Aksi di Pusat Bola Sepak MFF itu menyaksikan skuad negara bimbingan Brad Maloney mempamerkan penguasaan total dalam babak pertama tetapi gagal menembusi gawang lawan yang dikawal Solasak Thilavong.

Peluang terbaik skuad negara hadir pada minit ke-36 tetapi percubaan penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin, diselamatkan Thilavong dan gerakan susulan daripada Azam Azmi Murad turut dipatahkan.

Gol yang dicari-cari Harimau Malaya muncul dalam babak kedua apabila Azfar Fikri bijak menghidu lintangan Quentin Cheng untuk menolak masuk bola ke gawang Laos pada minit ke-68.

Seterusnya, skuad B-23 negara akan meneruskan saingan dengan menghadapi Thailand, Khamis ini.

Kemenangan dalam perlawanan itu akan mencerahkan peluang Malaysia untuk layak secara automatik ke kejohanan utama di Uzbekistan pada Jun tahun depan.




*Kredit foto: FAM