MALAYSIA 0 THAILAND 0

Skuad B-22 negara layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun tahun depan selepas menjuarai Kumpulan J pusingan kelayakan di Mongolia.

Secara keseluruhan, Malaysia mengumpulkan tujuh mata daripada tiga perlawanan selepas terikat 0-0 dengan Thailand dalam aksi terakhir di Stadium MFF, Ulaanbaatar sebentar tadi.

Terdahulu Malaysia menewaskan Laos dan tuan rumah, Mongolia, dalam dua aksi pertama untuk mengumpulkan enam mata dan hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Thailand bagi mengesahkan tempat ke kejohanan utama.

Malaysia mempamerkan penguasaan total sepanjang separuh masa pertama sehingga pemain Thailand terpaksa berkampung di kawasan sendiri tetapi tiada sebarang gol dapat dihasilkan.

Thailand meningkatkan rentak permainan mereka selepas separuh masa dan mula memberikan ancaman kepada gawang negara yang dikawal Azri Ghani.

Skuad negara kendalian Brad Maloney hampir memecahkan kebuntuan apabila sepakan sudut ketua pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi, menemui kepala Harith Haiqal Adam tetapi tandukannya sekadar hinggap di palang gol lawan dan percubaan susulan daripada Nik Akif Syahiran Nik Mat juga tidak berhasil.

Thailand meningkatkan asakan pada penghujung permainan, khususnya sepanjang lima minit waktu kecederaan, tetapi pertahanan pasukan negara kental bertahan untuk meraih satu mata berharga yang memutlakkan kedudukan teratas Kumpulan J.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir kejohanan itu adalah dalam edisi di China pada 2018.