Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, sedia membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih skuad B-20 negara, Brad Maloney, dalam kempen pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia hujung Oktober depan.

Bagi pemain berusia 19 tahun itu, ini merupakan peluang terbaik untuk skuad remaja negara membuktikan sesuatu selepas kejohanan itu ditunda tahun lalu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, penyerang kelab Belgium, KV Kortrijk, itu berkata: "Sewaktu awal undian (peringkat kumpulan) saya ada dihubungi jurulatih Brad, yang bertanyakan khabar saya.

"Cuma buat masa ini, saya belum mendapat sebarang makluman daripada pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tentang perkembangan pusingan kelayakan Piala Asia ini.

"Bagi saya, jika jurulatih Brad berminat memanggil saya untuk bermain dalam kejohanan ini, saya akan bermain kerana pada ketika itu, kami juga sedang menjalani waktu rehat antarabangsa, jadi memang tiada perlawanan selama seminggu.

"Kejohanan itu juga tidak lama, hanya seminggu, jadi bagi saya, tiada masalah untuk menyertainya.

"Saya bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan jurulatih Brad Maloney dan barisan kejurulatihannya.

"Saya bersyukur kerana mereka memberikan kepercayaan yang amat tinggi buat saya.

"Dengan apa yang diberikan mereka itu, saya akan membalasnya dengan sesuatu yang baik buat pasukan," katanya.