Penyerang skuad B-22 negara, Luqman Hakim Shamsudin, menjanjikan kemenangan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan J, pusingan kelayakan Piala Asia B-23 menentang Laos di Mongolia petang esok.

Jelasnya, skuad negara kini dalam keadaan terbaik selepas empat hari menjalani persiapan di Ulaanbaatar dan rata-rata pemain sudah tidak sabar untuk beraksi.

Pemain kelab Belgium, KV Kortrijk, itu juga tidak gentar seandainya pergerakannya akan dirantai pertahanan lawan berdasarkan prestasinya dalam kejohanan terdahulu.

"Setelah empat hari di Mongolia, kami berada dalam persiapan terbaik dan daripada segi mentaliti, kami sudah bersedia untuk bertemu Laos esok, jadi bagi saya, kami tiada masalah kerana rakan-rakan saya semuanya sudah bersedia," katanya seperti yang dipetik Nadi Weekend hari ini.

"Jadi, kami hanya tinggal untuk memenangi perlawanan ini.

"Bagi saya, ia tiada masalah (jika dirantai pemain Laos). Kami juga tidak pernah memandang rendah kepada Laos. Jika itu perancangan mereka, jurulatih kami juga mempunyai perancangan tersendiri.

"Ia perkara biasa. Sebagai penyerang, pasti akan ada orang yang akan menjaga saya.

"Bagi diri saya sendiri, saya perlu bijak dan tidak mengambil mudah.

"Sasaran kami hanyalah untuk menang, bukan kalah atau seri.

"Jadi, kami akan memberikan kegembiraan buat rakyat Malaysia dalam perlawanan esok dan semestinya kami akan memberikan kemenangan.

"Insya-Allah, doakan yang terbaik buat pasukan Malaysia," katanya.