Bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, enggan mengambil mudah laluan skuad negara dalam kempen pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia hujung Oktober depan.

Malaysia akan membuka tirai saingan itu dengan menentang Laos pada 27 Oktober depan sebelum bertemu tuan rumah, Mongolia, dan pencabar utama, Thailand, dalam aksi Kumpulan J itu.

Luqman Hakim, dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, berkata dia dan rakan sepasukannya tidak boleh memandang mudah mana-mana lawan kerana beranggapan setiap pasukan mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Bagi pandangan saya, kita tidak boleh mengambil mudah kerana kita tidak tahu apa yang mereka ada.

"Mungkin Thailand akan memberikan saingan sengit kepada pasukan Malaysia tetapi Mongolia juga mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Jadi, kami tidak boleh mengambil mudah pasukan seperti Laos, Mongolia dan Thailand dan perlu fokus terhadap keupayaan pasukan sendiri.

"Kerana dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh terjadi," katanya.

Pemain berusia 19 tahun itu turut berkongsi mengenai perkembangannya bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

"Syukur Alhamdulillah, saya berasa amat gembira di sini (Belgium) kerana saya menikmati suasana bola sepak di sini.

"Untuk bermain, Insya-Allah, kerana saya sentiasa memberikan lebih daripada 100 peratus dalam latihan.

"Saya tidak kisah berlatih sehingga pengsan selagi saya dapat memberikan 100 peratus.

"Rezeki dan kejayaan akan datang kalau kita berusaha, Insya-Allah," katanya lagi.