Skuad B-22 1 Negeri Sembilan 2

Jurulatih skuad B-22 negara, Brad Maloney, menganggap perlawanan persahabatan pertama bagi persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 sebagai memuaskan sungguhpun tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan.


Walaupun anak buahnya gagal mempertahankan kelebihan satu gol dalam separuh masa pertama, dia menjelaskan corak permainan di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya, petang tadi, memberi gambaran awal terhadap tindakan yang perlu dilakukan kelak.

Barisan remaja negara tidak perlu tunggu lama untuk menggegar gawang skuad Jang menerusi penyudah tonggak Skuad Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Armanm, pada minit ke-11.

Selepas berehat dua minggu, Negeri Sembilan cuba mengatur semula gerakan dan berhasil menghadirkan ancaman menerusi percubaan kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak di dalam kotak penalti disusuli jaringan penyamaan oleh penyerang import, Alain Akono, sebelum babak pertama tamat tetapi gol itu tidak disahkan kerana ofsaid.

Baru dua minit permainan bersambung, pemain dari Cameroon itu menebus kekecewaan awalnya apabila menyumbat gol buat juara Liga Perdana berkenaan.





Menuju sembilan minit masa kecederaan, kemenangan barisan bimbingan K. Devan itu akhirnya dimuktamadkan oleh pemain tengah, R Barathkumar.

"Kumpulan pemain ini baru sahaja dikumpulkan dan kami sememangnya sudah menjangkakan satu perlawanan yang sengit berdepan Negeri Sembilan yang merupakan juara Liga Perdana.

"Kami dapat meraih manfaatnya walaupun keputusan tidak memihak kami.

"Tapi saya percaya banyak aspek positif yang boleh kami diambil dalam perlawanan hari ini.

"Kami bermula dengan baik dengan mengawal permainan dalam separuh masa pertama.

"Kami agak hilang rentak dalam babak kedua dan ini sesuatu yang perlu kami baiki," kata Maloney sejurus perlawanan berakhir.

Dalam masa sama, Devan menyifatkan tempoh rehat lama sebelum ini menyaksikan pemainnya masih tercari-cari rentak sebenar bagi persiapan berdepan Kedah Darul Aman, 29 Oktober depan.

"Mungkin persiapan mental pemain tidak begitu baik dalam perlawanan ini kerana ada tiga minggu lagi sebelum menyambung kempen Piala Malaysia.

"Tapi yang penting mental pemain dalam keadaan terbaik.

"Saya nampak dalam babak pertama, mungkin dengan cuaca yang panas, kami tidak dapat mengamalkan corak permainan seperti biasa," kata Devan pula.