Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhasrat mempertaruhkan pemain yang sedang beraksi di luar negara, namun tetapi tidak akan menabur janji manis ke Sukan Olimpik Paris 2024 sungguhpun mencanang peluang Malaysia untuk beraksi dalam temasya itu.

Badan induk itu berhasrat menghantar skuad B-20 berbanding skuad B-23 dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Oktober depan.

Malah, idea itu sudah tercetus sejurus kegagalan skuad B-23 negara dalam Sukan SEA Filipina, dua tahun lalu, bukannya diputuskan selepas undian kelayakan semalam.

"Apabila kami berjanji mahu layak ke Sukan Olimpik 2024, saya tidak janjikan bahawa kami (semestinya) akan layak.

"Tetapi perancangan perlu ada. Pemain ini hampir dua tahun tidak berlatih bersama.

"Pemain ini adalah generasi bola sepak pada masa depan. Perancangan adalah penting untuk persiapan skuad B-23," kata Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee, di Nadi Weekend sebentar tadi.





Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober diikuti tuan rumah, dua hari kemudian sebelum melengkapkan kempen Kumpulan J menentang Thailand (31 Oktober).

Membabitkan pemain yang lahir pada 2001 dan ke atas, bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman, antara dalam perancangan pasukan termasuk beberapa pemain yang berpangkalan di Eropah.

Selain Luqman Hakim yang berkelana ke Belgium bersama KV Kortrijk, pertahanan FK IMT, Adam Hamid, yang beraksi dalam divisyen dua Liga Serbia juga antara dalam percaturan pengendali, Brad Maloney.

"Kami mempunyai hampir 50 pemain untuk dipilih dan sebilangannya beraksi di luar negara.

"Pemain yang kamu (media) maksudkan juga sedang dipantau.

"Kami kerap menghubungi ejen dan mereka sendiri," katanya.