Pertahanan skuad B-22 negara, Zikri Khalili, menganggap cuaca sejuk di Mongolia sebagai musuh utama yang perlu diatasi pemain negara sebelum memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Asia B-23 minggu depan

Skuad negara dilaporkan sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di Ulaanbataar menerusi sesi latihan pertama semalam.

Latihan itu diadakan hanya beberapa jam selepas pemain negara mengharungi penerbangan selama 13 jam ke negara tuan rumah itu.

Seramai 23 pemain dibawa ke Mongolia, termasuk pemain yang berpangkalan di Jerman, V. Annil, dan skuad kendalian Brad Maloney itu perlu segera menyesuaikan diri dengan persekitaran di bawah 6 darjah Celsius menjelang perlawanan pertama Kumpulan J menentang Laos pada Isnin ini.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Zikri, yang dilantik sebagai penolong kapten bagi kempen kali ini, berkata: "Bagi saya, keadaan lesu dan lenguh dalam latihan hari pertama merupakan sesuatu yang biasa.

"Sepanjang perjalanan ke sini, kami perlu mematuhi banyak prosedur berkaitan COVID-19 tetapi ia tidak menghalang semangat kami untuk berlatih di sini dan kami semua juga tidak sabar untuk memulakan kejohanan.

"Perbezaan kejohanan kali ini dengan kejohanan yang kami lalui sebelum ini adalah daripada segi umur dan keamatan perlawanan. Kerana semakin meningkat usia, keamatannya juga semakin tinggi.

"Mengenai cuaca sejuk ini, sebelum ini kami juga pernah beraksi di Jepun dalam cuaca sejuk, jadi kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sini," katanya.

Selepas bertemu Laos, Malaysia akan berdepan tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober ini dan menamatkan kempen dengan menghadapi Thailand pada 31 Oktober ini.