Kelayakan Piala Asia: Azraai Khor hormati percaturan berisiko Pan-gon

Shaiful Shamsudin
Mei 18, 2022 10:56 MYT
Jurulatih Terbaik Liga Malaysia (Liga-M) 2007/08, Azraai Khor Abdullah, menganggap jurulatih baru Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mengambil risiko tinggi dengan memilih Guilherme de Paula untuk persiapan menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2022, bulan depan.
Pemilihan penyerang naturalisasi yang menganggotai skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dalam senarai 29 pemain skuad kebangsaan kendalian Pan-gon yang diumumkan semalam menimbulkan persoalan.
"Saya agak terkejut juga kerana Guilherme de Paula disenaraikan, apa pun kita hormati keputusan Kim Pan-gon.
"Dia yang ingin masak 'kimchi' jadi dialah yang akan sediakan bahan-bahannya. Kalau tidak berjaya dia sendiri yang kena pancung.
"Ini bukan (pemilihan) wakil pasukan kampung, ini wakil untuk pasukan negara, sudah tentu minit permainan diambil kira.
"Liga sudah bermula tapi di mana kawan kita?
"Dia (Pan-gon) ada pasukan analisa, mereka buat apa? Ia penting kerana kita sudah bawa jurulatih berprofil tinggi jadi benda-benda ini kena dipastikan.
"Adakah kita tengok ada pasukan Eropah yang akan panggil pemain yang kurang minit permainan, tapi tidak apalah dia yang akan tanggung," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, dalam Nadi Arena.
Bagi mengharungi Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang turut dihuni Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh itu, Harimau Malaya merangka dua perlawanan apabila bakal diuji Brunei (27 Mei) dan Hong Kong (1 Jun).
"Pasukan Brunei merupakan ujian lebih selesa dan Hong Kong juga satu ujian.
"Pan-gon sudah masak dengan pasukan Hong Kong kerana lama di sana jadi sudah kita tengoklah sejauh mana kesudahan persiapan mereka.
" Tapi dua perlawanan ini begitu penting untuk keserasian pemain," katanya lagi.