Ketika peminat-peminat mula membuat perhitungan siapakah yang perlu dipanggil untuk mewakili sekuad Malaysia dalam Piala AFF Disember ini, ia tidak mengalihkan pandangan mata penulis tentang persiapan skuad Malaysia B-16 yang akan memulakan perlawanan kelayakan Piala Asia AFC B-17 Bahrain 2023 di Bogor, Indonesia.

Skuad kendalian Osmera Omaro itu akan bertemu Palestin,Indonesia, Guam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan B, jadi sudah pasti pertandingan ini sekali lagi akan menjadi menguji kemampuan skuad muda negara.

Berdasarkan prestasi semasa skuad remaja negara ini, mereka berada di tahap yang terbaik untuk mereka mengharumkan nama negara.




Ini dibuktikan dari peningkatan prestasi setiap individu pemain-pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka telah membuktikannya dalam beberapa siri perlawanan persahabatan dan yang terakhir mencipta kemenangan ketika menentang Taiwan.

Namun, masih ada beberapa elemen yang perlu diperbaiki Osmera terutama daripada segi aspek tumpuan pemain.

Elemen itu yang perlu ditekankan ketika ini oleh Osmera dan pasukan kejurulatihannya kerana pemain-pemain muda negara ini tidak punya masalah dalam aspek teknikal dan taktikal.




Ini boleh diperhatikan melalui prestasi mereka dari setiap perlawanan persahabatan yang mereka lalui dimana dengan kehilangan konsentrasi mereka itu telah memberi ruang kepada lawan untuk melakukan jaringan. Sekiranya elemen itu dari diperbaiki dan mengekalkan keharmonian dalam pasukan pasti Harimau Muda dapat memberi saingan nanti.

Daripada segi moral pemain-pemain pula, penulis melihat mereka berada pada “mood” yang positif melalui keceriaan yang ditonjolkan dari raut wajah mereka sebelum berlepas ke Jakarta.

Ini menunjukkan petanda bahawa anak didik Osmera sudah bersedia untuk mengalas cabaran negara walau apa pun terjadi.

Kepada peminat-peminat sama-sama kita memberi sokongan kepada skuad Harimau Muda ini kerana setiap individu dalam skuad muda itu merupakan aset masa depan negara dan perlu diingatkan kepada peminat-peminat, di peringkat pembangunan ini kita perlu melihat proses kemajuan setiap pemain itu lebih penting dan sifat ingin kemenangan itu juga akan membantu kejayaan mereka nanti.