Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meredakan sedikit kebimbangan Harimau Malaya untuk menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual diadakan Januari tahun depan.

Menerusi perbualan dengan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, mengesahkan kedudukan pasukan dalam balang untuk undian pusingan ketiga itu masih belum muktamad.

Menurut Windsor, perkara itu hanya akan diputuskan mengikut perkiraan ranking terakhir setiap pasukan sebelum undian berlangsung hujung Oktober depan.

Ini bermakna, skuad negara masih berpeluang untuk berada dalam balang lebih baik berbanding jangkaan awal dalam balang tiga berdasarkan ranking semasa.

"Ranking dalam pusingan kedua tidak akan digunakan, sebaliknya ranking terakhir sebelum proses undian yang akan diambil kira, " katanya dalam temu bual secara maya hari ini.





Untuk rekod, skuad negara muncul antara 22 pasukan yang layak ke pusingan ketiga kelayakan selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir semalam.

Ia akan disertai dua lagi pasukan daripada aksi play-off untuk menjadikan 24 pasukan berentap dalam kelayakan berkenaan.

"Mekanisme terbaru untuk pemilihan ini mengambil kira situasi pandemik untuk mengurangkan peringkat kelayakan atau play-off supaya kami dapat membawa maksimum pasukan bagi peringkat akhir kelayakan."