Kelayakan Euro 2024: Harry Kane lakar pencapaian luar biasa di Itali

Shaiful Shamsudin
Mac 24, 2023 03:43 MYT
ITALI 1 ENGLAND 2
Gareth Southgate berasakan pencapaian luar biasa Harry Kane membuktikan kekuatan mentalnya ketika mengatasi rekod penjaring terbanyak England dalam kemenangan 2-1 ke atas Itali, awal pagi tadi.
The Three Lions membuka kempen Kumpulan C, kelayakan Euro 2024 di Stadio Diego Armando Maradona itu dengan menebus kekecewaan tumpas kepada Azzurri dalam final Euro 2020.
Declan Rice terlebih dahulu memecah kebuntuan dan Kane muncul selaku penjaring terbanyak England menerusi sepakan penalti di penghujung separuh masa pertama.
Gol sulung daripada penyerang kelahiran Argentina, Mateo Retegui, dalam separuh masa kedua sementara kad merah Luke Shaw masih belum mampu menggugat England untuk mencetak kejayaan pertama di tempat lawan sejak Mei 1961.
Ia adalah malam yang istimewa buat Kane yang memecahkan rekod yang dikongsi bersama Wayne Rooney itu dengan menyumbangkan gol ke-54 buat England.

ENGLAND'S ALL-TIME RECORD GOALSCORER! Congratulations, @HKane! ? pic.twitter.com/vXoeRcQrRC

— England (@England) March 23, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Justeru, Southgate memuji kaptennya itu yang bangkit untuk mencipta sejarah dalam perlawanan pertama The Three Lions sejak gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam kekalahan suku akhir Piala Dunia kepada Perancis, Disember lalu.
Dia berkata: "Kane adalah luar biasa. Rekod jaringan ini dalam keadaan seperti ini menunjukkan bahawa segala kekuatan mental yang dia miliki.
"Ia benar-benar satu pencapaian yang luar biasa; pemain bersorak untuknya dan ini adalah reaksi daripada hasil kedua-dua rekod yang dipecahkan selain menebus keperitan yang dia dilaluinya di Qatar."
#England #Harry Kane #Kelayakan Euro 2024